suria

Majikan Disaran Benar Pekerja Pulang Awal Saksi M'sia Tentang Vietnam

KUALA LUMPUR: Bahang kejayaan pasukan bola sepak Sukan SEA negara memasuki perlawanan akhir untuk menentang Vietnam esok, turut terasa di Dewan Negara apabila majikan disaran agar membenarkan pekerja mereka pulang lebih awal bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan itu.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang berkata pertandingan akhir itu akan ditayangkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada jam 6 petang.

"Mungkin majikan boleh benarkan pekerja masing-masing balik awal, ataupun boleh sediakan televisyen di pejabat supaya pekerja-pekerja dapat menonton," katanya ketika menjawab soalan Senator Fatimah Hamat pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Razali berkata, pasukan negara sudah pasti akan menghargai sokongan yang diberi oleh rakyat Malaysia sekaligus akan memberi kesan yang besar kepada pembangunan sukan negara.

"Ia tidak ada nilaian wang ringgit, tetapi sumbangan dari majikan dalam menyokong pembangunan bola sepak saya pasti pasukan negara akan menghargai perkara ini," katanya.

Menjawab soalan Fatimah mengenai langkah yang dilakukan kementerian tersebut untuk menarik minat badan korporat (CSR) dan syarikat besar tempatan menunaikan tanggungjawab sosial korporat dalam bidang sukan, Razali berkata, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula dengan pendekatan baru di bawah Insentif Penajaan CSR mulai suku pertama tahun depan.

Beliau berkata, ia bagi menggantikan Program Rakan Sukan yang pernah diperkenalkan pada tahun 1994.

"Di bawah program ini, pihak penaja dan kerajaan akan berbincang bagi merumuskan satu formula baru yang memberi faedah kepada keduadua pihak sebelum pihak penaja dipadankan dengan sukan atau persatuan sukan yang dipersetujui bersama oleh penaja dan persatuan sukan kebangsaan," katanya.

Dengan cara itu katanya, pihak penaja akan mempunyai kepelbagaian dan kedudukan yang lebih strategik bagi merangka strategi pemasaran mereka dan dijangka program itu akan dapat menarik syarikatsyarikat baru untuk turut serta dalam penajaan acara sukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain