suria

Jangan Politikkan Cadangan Penubuhan Jabatan Penguat Kuasa & Pendakwaan Syariah Negeri

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom kesal tindakan pembangkang yang mempolitikkan cadangan penubuhan Jabatan Penguat Kuasa dan Pendakwaan Syariah Negeri.

Malah beliau menegaskan, hal ehwal agama Islam di negeri-negeri tidak ada kaitan dengan pentadbiran kerajaan yang memerintah sebaliknya di bawah kuasa sultan.

"Cadangan itu akan diperhalusi dengan teliti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bank Islam cawangan Kota Damansara di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim baru-baru ini supaya diwujudkan jabatan berkenaan dalam usaha memantapkan kualiti khidmat agensi penguat kuasa agama di seluruh negara.

Mashitah berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa agama yang semakin kritikal di beberapa negeri.

Malah katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri akan memperhalusi cadangan tersebut bagi memastikan penubuhannya dapat mengatasi masalah pertambahan dan kelewatan kes di Mahkamah Syariah seluruh negara.

Jamil memberitahu, beberapa siri perbincangan dengan semua jabatan agama Islam negeri akan dilakukan dari semasa ke semasa dengan mengambil pendekatan yang lebih bijaksana serta menghormati kuasa dan hak milik mutlak pendakwaan syariah setiap negeri.

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain