suria

Malaysia Mungkin Pertimbang Semula Pengambilan Pekerja Bangladesh

DHAKA: Malaysia akan menimbang semula pengambilan pekerja dari Bangladesh sebaik sahaja ekonomi kembali pulih, memandangkan permintaan untuk pekerja dalam pelbagai sektor akan meningkat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berkata, sebab utama Malaysia membekukan pengambilan pekerja asing adalah kerana keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan di tanah air.

"Malaysia seperti juga negara lain di seluruh dunia berdepan kesukaran (ekonomi) dan pertumbuhan yang tidak kondusif untuk mengambil lebih ramai pekerja. Sebaik sahaja ekonomi kami dalam keadaan baik, kami akan berupaya mengambil semula pekerja, sudah tentulah dalam sektor perladangan," katanya kepada media di sini hari ini.

Memandangkan ekonomi global mengalami kelembapan sejak 2008, pertumbuhan ekonomi Malaysia turut terencat, mengakibatkan penurunan dalam permintaan pekerja dari luar negara.

Pada Oktober 2007 Kabinet Malaysia memutuskan untuk membekukan pengambilan pekerja dari Bangladesh.

Sehingga Mac lepas, Malaysia membatalkan visa kerja bagi 55,000 pekerja Bangladesh apabila pasaran buruh tempatan menguncup ekoran keadaan ekonomi yang lembap.

Bagaimanapun, tindakan itu menimbulkan kemarahan negara pembekal tenaga buruh tradisi seperti Bangladesh, yang hampir 400,000 daripada warganya kini bekerja di Malaysia dalam pelbagai sektor merangkumi perladangan, pembinaan hinggalah kepada pengeluaran.

Media di Bangladesh juga kerap kali membangkitkan isu itu.

"Kami menjalin hubungan yang baik dengan Bangladesh dan pekerja Bangladesh kuat bekerja, kami tidak ada masalah untuk mengambil mereka bekerja di masa depan," kata Dompok.

Pada masa ini terdapat kirakira 1.5 juta pekerja asing di Malaysia.

Dompok berada di Dhaka bagi merasmikan Pameran Perdagangan dan Seminar Minyak Sawit Malaysia-Bangladesh 2009 yang julung kali diadakan, anjuran bersama Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adun Melor Kini Dirawat Di HUSM

Artikel Lain