suria

Mahathir Cabar CTRM Bina Pesawat Lebih Murah

LANGKAWI: Bekas perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM), supaya mencetus, mereka bentuk dan membangunkan pesawat yang lebih murah secara bersendirian, berasaskan pesawat Eagle 150B.

"Saya yakin kerangka (Eagle) boleh digunakan. (Mungkin), kita boleh terus mengkaji bagaimana membina pesawat yang berasaskan kerangka yang sama. Bila kita akan berjaya? Saya tidak tahu, namun berbaloi untuk mencubanya.

"Selepas itu, saya cadangkan kita gunakan pesawat yang lebih besar sedikit, dengan dua enjin kembar. Inilah perkara yang kita perlu berani mencuba," katanya pada majlis menghargainya, pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 di sini.

CTRM yang ditubuhkan pada 1990, adalah hasil cetusan idea Dr Mahathir, yang mahukan Malaysia meneroka industri berteknologi tinggi, termasuk mengeluarkan bahan komposit.

"Semoga anda (CTRM) boleh mereka bentuk dan mengeluarkan pesawat anda sendiri secara bersendirian dan apabila anda bejaya, saya sangat gembira untuk menghadiri LIMA sekali lagi," kata Dr Mahathir secara bergurau, yang disambut gelak ketawa hadirin.

CTRM menerusi anak syarikat milik penuhnya, CTRM Aviation Sdn Bhd, terlibat dalam pengeluaran dan pemasangan pesawat ringan komposit dua tempat duduk, Eagle 150B, yang merupakan pesawat ringan generasi baharu yang berkeupayaan terbang pada kelajuan 125 knot.

Projek itu merupakan langkah utama pertama oleh CTRM dalam meletakkan dirinya sebagai antara pengeluar komponen udara komposit pilihan dunia.

Bagaimanapun difahamkan, projek itu dihentikan kerana kurangnya permintaan untuk pesawat terbabit, yang agak mahal untuk dikeluarkan.

Pada sidang media kemudiannya, Dr Mahathir berkata CTRM telah mencuba membina Eagle dan Cirrus, tetapi belum ada pesawat yang diciptanya sendiri.

"Walaupun sudah ada percubaan untuk melukis pesawat kapal terbang tetapi oleh sebab terlalu banyak kerja, jadi tidak dapat menumpukan perhatian. Saya harap CTRM akan dapat mengambil pekerja-pekerja yang cekap dalam bidang reka bentuk komputer untuk menghasilkan pesawat terbang dan dapat membuat pengujian menggunakan komputer," katanya.

Selain itu, bekas perdana menteri itu berkata terdapat peluang besar untuk bahan komposit dalam banyak industri, selain aeroangkasa.

"Saya yakin bahan komposit mempunyai masa depan yang hebat. Lebih banyak perkara boleh dilakukan dengan bahan komposit. Kita mesti terus belajar mengenai komposit dan mengetahui sebanyak mungkin, memandangkan komposit boleh menggantikan bahan lain dan boleh digunakan dalam banyak industri lain," kata Dr Mahathir.

CTRM kini mengeluar dan membekal struktur aero komposit kepada pengeluar utama pesawat seperti Airbus dan Boeing.

Mengenai LIMA 2009, Dr Mahathir berkata kemajuan besar sudah dilihat dalam industri aeroangksa, terutama syarikat tempatan mula menunjukkan kehebatan masing-masing dalam industri aeroangkasa antarabangsa seperti CTRM, Sapura, NGV Tech dan banyak lagi.

"Saya melihat dengan adanya LIMA, ramai ahli perniagaan Malaysia telah menemui satu bidang yang boleh mereka sertai iaitu bidang aeroangkasa dan ramai yang telah berjaya sehingga mereka mampu memperbaiki enjin-enjin pesawat terbang, termasuk enjin pesawat pejuang dan sebagainya," katanya.

Jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia telah agak maju dalam industri aeroangkasa dan ini adalah sesuatu yang patut dibanggakan, kata Dr Mahathir.

"Banyak syarikat Malaysia sudah menceburi bidang aeroangkasa, kejuruteraan yang jauh melepasi jangkaan saya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain