suria

Kejadian Pelik Kereta Di Jalan Madhali Tak Boleh DiKunci

ALOR SETAR: Beberapa pemilik kereta yang meletakkan kenderaan mereka di Jalan Madhali berhampiran sebuah hospital swasta di sini berasa pelik kerana kenderaan mereka tidak boleh dikunci secara automatik dan membuatkan mereka bimbang kereta mereka akan hilang.

Seorang pemandu, Tan Cheng Choon, 47, berkata, ketika dia meletakkan kenderannya di situ untuk menjamu selera di sebuah kedai makan berhampiran tetapi keretanya tidak boleh dikunci secara automatik.

"Saya terpaksa menggunakan kunci manual tetapi apabila saya mahu pulang, enjin pula tidak boleh hidup," katanya ketika ditemui di tempat letak kereta di situ hari ini. Tan berkata dia sering ke kedai makan itu tetapi baru mengalami pengalaman yang pelik itu.

Seorang peniaga, Lim Chye Huat, 43, berkata sejak 10 tahun berniaga di situ, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku. Lim berkata kejadian itu berlaku sejak tiga minggu lepas dan dia sering mendapat aduan daripada pelanggan dan juga pengunjung ke hospital swasta berkenaan.

"Masa mula-mula menyedari kejadian ini, seorang pelawat hospital mendapati keretanya tidak boleh dibuka.

Pada mulanya dia ingat bateri kunci automatik keretanya habis dan dia menukar bateri baru.

"Kemudian kuncinya tetap tidak berfungsi menyebabkan dia memanggil mekanik, tetapi keretanya tetap tidak boleh dibuka dan orang ramai terpaksa menolak keretanya keluar dari jalan itu," katanya.

Lim berkata apabila kereta itu sampai di hujung simpang, barulah alat penggera kenderaannya berfungsi dan kunci boleh dibuka.

Pegawai Khas (Penerangan) kepada Menteri Besar Kedah, Teh Kok Soo yang turut berada di tempat kejadian berkata, beliau mendapat aduan daripada orang ramai dan peniaga di situ tentang kejadian aneh yang berlaku itu. "Selepas mendapat aduan, saya terus ke sini dan mendapati kereta saya juga tidak boleh dikunci menggunakan kunci automatik," katanya.

Teh berkata beliau tidak pasti punca yang menyebabkan kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan ia angkara sindiket.

"Teknologi zaman sekarang makin canggih dan manusia boleh buat apa sahaja untuk kepentingan diri sendiri tetapi ini hanyalah andaian saja sahaja," katanya.

Teh berkata beliau akan menghubungi Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, Jabatan Alam Sekitar dan agensiagensi yang berkaitan bagi menyiasat punca kejadian itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain