suria

Perairan Langkawi "Kecoh" Kapal Ditawan Lanun

LANGKAWI: Perairan Langkawi "kecoh" seketika apabila dimaklumkan berlakunya kejadian lanun menawan sekumpulan tebusan kapal KM Mahawali.

Sebaik sahaja menerima laporan mengenai insiden tersebut, sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) termasuk anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Berbekalkan kelengkapan Helikopter AS365 Dauphin N3, pesawat Amfibia Bombardier CL415, pasukan APMM mempamerkan keupayaan dalam misi menyelamat tebusan di kapal yang ditawan oleh lanun.

Helikopter Dauphin mempunyai kemampuan tinggi dalam operasi SAR manakala pesawat CL415 memiliki keunikan untuk mendarat di atas air.

APMM mengambil tindakan penggeledahan secara agresif dengan menurunkan anggota PTK dari helikopter dengan menggunakan tali ke atas kapal yang ditawan dan disertai oleh anggota PTK dari pesawat amfibia, pada masa yang sama Dauphin mengawasi dari udara, bagi menyelamatkan kapal dan tebusan.

Ini adalah sebahagian demonstrasi APMM sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima 2009) di Awana Porto Malai, hari ini.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Datuk Mohd Amdan Kurish yang menyaksikan demonstrasi itu berpuas hati dengan persembahan yang menguji keupayaan agensi itu.

"Operasi ini memerlukan koordinasi yang tinggi dan ia boleh dikendalikan dengan keupayaan yang terlatih," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain