suria

J'kuasa M'sia-Indon Berjaya Atasi Masalah Pembantu Rumah - Hisham

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa bersama Malaysia-Indonesia berhubung pembantu rumah Indonesia yang ditubuhkan bulan lepas, telah menyelesaikan 54 kes yang melibatkan 140 pembantu rumah dan enam kanak-kanak yang ditempatkan di rumah perlindungan Kedutaan Indonesia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sementara 36 kes lagi hampir selesai dan 56 kes sedang menunggu perbicaraan mahkamah.

Jawatankuasa itu yang bertanggungjawab memantau kes tersebut serta mempercepatkan penyelesaian kes di rumah perlindungan kedutaan itu, akan dilebarkan ke Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Johor, katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke rumah perlindungan Kedutan Besar Indonesia di sini hari ini.

Turut hadir Duta Besar Indonesia ke Malaysia Tan Sri Dai' Bachtiar.

Hishammuddin berkata, anggota jawatankuasa itu juga ditambah dengan turut dianggotai wakil pejabat Peguam Negara dan mahkamah.

Beliau berkata, laporan mengenai kes penderaan dan keselamatan warga Indonesia di negara ini juga kini akan disalurkan terus kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi diatasi dengan secepat mungkin. Dengan cara ini, katanya kementeriannya dapat memantau kes-kes yang melibatkan penderaan dan keselamatan rakyat Indonesia di Malaysia dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bersalah.

Beliau menambah, tindakan ini adalah antara keputusan yang dicapai dalam perbincangannya dengan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar, di sini pada 12 November lepas.

"Secara peribadi, saya sendiri akan ambil tindakan dan pantau kes-kes penderaan ini. Setiap kes akan dilaporkan secara langsung ke pejabat saya dan saya sendiri akan tengok agar perkara ini tidak akan berulang.

"Jika berulang juga, mereka yang terlibat akan dibawa ke mahkamah dalam masa yang paling singkat," katanya.

Sementara itu, Dai' berkata, penubuhan jawatankuasa itu telah membantu kedutaan itu menyelesaikan masalah berkaitan pembantu rumah dan juga keselamatan rakyat negara itu di sini.BERNAMA

Artikel Lain