suria

Isu "12 Mata Pelajaran SPM" Dibawa Ke Kabinet

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata beliau akan mengusulkan kepada kabinet agar membenarkan pelajar India mengambil maksimum 12 mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya beliau juga akan meneruskan usaha untuk mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengenai perkara itu.

Muhyiddin mengumumkan Jun lepas bahawa pelajar hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran SPM bermula tahun depan.

Bercakap kepada pemebrita selepas mengadakan pertemuan dengan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India di sini hari ini, Dr Subramaniam yang juga naib presiden MIC berharap Kementerian Pelajaran akan membenarkan pelajar India mengambil subjek Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil selain 10 mata pelajaran yang ditetapkan kementerian berkenaan.

Katanya beliau telah diminta menyampaikan hasrat itu kepada kabinet agar mengkaji semula keputusan tersebut sejak empat bulan lepas dan akan meneruskan usaha untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran sehingga mencapai penyelesaian. Menteri itu berkata keutamaan beliau adalah untuk menyelesaikan masalah tersebut bagi memastikan pelajar India dibenarkan mengambil 12 mata pelajaran berbanding 10 seperti yang diputuskan sebelum ini.

"Kami sedang berusaha ke arah itu. Inilah yang dimahukan oleh komuniti India," katanya.

Dr Subramaniam juga berkata isu itu harus diselesaikan secara berhemah dan tidak guna terlalu emosi kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah. Beliau merujuk laporan bahawa terdapat beberapa NGO India yang mahu mengadakan protes berhubung isu itu.

Katanya NGO dan pihak yang berkepentingan harus bekerja bersama dengan "satu suara dan satu keazaman" bagi mencari penyelesaian.

"Atas sebab inilah kami mengadakan pertemuan dengan NGO hari ini bagi mendapatkan pandangan mereka dan menyerahkannya kepada kabinet dan Jawatankuasa Pendidikan MIC," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Subramaniam berkata beliau tidak akan tunduk kepada ugutan dengan berkata beliau telah cuba menyelesaikan masalah itu dan telah bekerjasama dengan pegawai Kementerian Pelajaran untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Dilaporkan seorang anggota pembangkang mahu membakar patungnya bertujuan "untuk melepaskan kekecewaan komuniti India" berhubung isu itu. BERNAMA

Artikel Lain