suria

KPDNKK Rampas Rokok Jenama Tiruan Bernilai RM2,000

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya merampas 307 kotak rokok jenama antarabangsa tiruan yang dianggarkan bernilai RM2,000 dalam serbuan di sekitar ibu kota di sini hari ini.

Ketua Operasi KPDNKK Putrajaya Ahmad Zamri Che Long berkata berdasarkan maklumat orang ramai, seramai 10 anggota dan pegawai KPDNKK mengadakan serbuan ke atas 10 premis perniagaan kedai runcit dan pasar mini di sekitar Kepong, Selayang dan Chow Kit bermula 10 pagi hingga 3 petang tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua barangan rampasan itu merupakan jenama rokok tiruan yang tidak mempunyai label dan alamat pengedar yang sah.

"Operasi ini sentiasa dijalankan secara berterusan bagi mengenalpasti pemilik kedai tidak menjual rokok jenama tiruan.

Rokok-rokok yang dijual itu tidak menggunakan nama pengedar yang diiktiraf termasuk mempunyai alamat pengedar yang tidak wujud," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Ahmad Zamri berkata kes disiasat menurut Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika sabit kesalahan denda sehingga RM250,000 boleh dikenakan kepada pemilik syarikat manakala bagi individu atau orang perseorangan denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Menurutnya, rampasan itu dilakukan di bawah Perintah Kawalan Harga (Perlabelan oleh pekilang, pengeluar atau pemborong) 1980, yang membawa denda RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Lain