suria

PDRM Tubuh Pasukan Penyiasat Khas Siasat Kes Amuk

KANGAR: Satu pasukan khas dibentuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat kejadian amuk yang menyebabkan kematian seorang remaja lelaki berusia 21 tahun di Guar Sanji dekat sini Sabtu lepas.

Pemangku Ketua Polis Perlis Datuk Jamshah Mustapa berkata pasukan dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah itu telah memulakan siasatannya semalam dan hasil siasatan akan dikemukakan kepada Bukit Aman.

Ketika diminta mengulas perkembangan terkini kes itu Selasa, beliau berkata pihaknya akan memberi sepenuh kerjasama kepada pasukan penyiasat itu.

Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, seorang peniaga Muhamad Taufik Noorzan yang mengamuk berhampiran pusat khidmat wakil rakyat Guar Sanji dekat sini ditembak mati oleh polis ketika dikatakan cuba menyerang seorang anggota polis dengan sebilah pisau pemotong sayur.

Polis sebelum itu, dilapor melepaskan tembakan amaran ke udara namun lelaki yang dipujuk selama lebih satu jam itu terus bertindak agresif menyebabkan satu das lagi tembakan dilepaskan dan terkena anggota badannya.

Jamshah yang tetap mempertahankan tindakan anggota polis itu yang menurutnya terpaksa dilakukan demi mempertahankan diri semasa bertugas, berkata siasatan itu perlu dibuat bagi mengelakkan tanggapan negatif masyarakat terhadap tugas polis. BERNAMA

Artikel Lain