suria

Tuanku Mizan hadir Mesyuarat ke-219 Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menghadiri hari terakhir Mesyuarat ke-219 Majlis Raja-Raja di Istana Negara di sini hari ini.

Seri Paduka Baginda diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Mesyuarat hari ini, yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, dihadiri semua Sultan dan Yang Dipertua Negeri kecuali Kelantan, Pahang, Perak, Johor dan Terengganu.

Kelantan diwakili Pemangku Sultan Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Pahang diwakili Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad, Perak oleh Pemangku Sultan Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah dan Johor diwakili Raja Muda Johor Tunku Ismail Ibrahim Ibni Tunku Ibrahim Ismail.

Terengganu pula diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

Mereka diiringi Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing.

Mesyuarat dua hari itu, yang bermula semalam, membincangkan perkara berkaitan agama, pertahanan, keselamatan, pelantikan, ekonomi serta perkembangan industri kewangan Islam. BERNAMA

Artikel Lain