suria

Mangsa kemalangan dapat ganti rugi RM1.1 juta

PUTRAJAYA: Ibu kepada dua orang anak yang lumpuh selepas lori yang dipandu oleh suaminya berlanggar dengan sebuah kereta 11 tahun lepas, dianugerahi ganti rugi RM1.1 juta oleh Mahkamah Rayuan di sini Rabu.

Hakim-hakim Tengku Datuk Baharudin Shah Tengku Mahmud, Datuk Sulong Matjeraie dan Datuk T.Selventhiranathan membenarkan rayuan oleh Nauren Abdul Manaf, 54, dengan kos dan faedah.

Beliau juga menerima RM302,400 bagi kos penjagaan rawatan, RM93,600 untuk lampin, RM200,000 untuk penjagaan masa depan, kerosakan am RM400,000 kerana lumpuh yang ditanggungnya, kehilangan kemudahan RM100,000 dan kos RM30,000.

Korum itu bagaimanapun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi tidak memberikan kos suaminya hilang pendapatan.

Beliau merayu kepada Mahkamah Rayuan kerana tidak puashati dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Mac 2006, yang mengurangkan jumlah beberapa ganti rugi yang diberikan kepadanya oleh Mahkamah Sesyen berikutan rayuan oleh pihak pembelaan, Chew Ming Thai.

Pada 5 Nov 2004, Mahkamah Sesyen Seremban mendapati Chew 100 peratus bertanggungjawab terhadap kemalangan itu dan memerintahkan beliau membayar RM1,478,672.94 sebagai ganti rugi am dan ganti rugi khas.

Lori yang dipandu oleh suami Nauren berlanggar dengan sebuah kereta dipandu KM271 Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur pada 23 Ogos, 1998.

Peguam Nauren, Jerald Gomez berhujah akibat kemalangan itu Nauren mendapat senjenis penyakit dipanggil 'post-traumatic dystrophy', juga dikenali sebagai sindrom kesakitan bahagian yang kompleks di mana keadaannya akan merosot dari masa ke masa, menyebabkan dia kehilangan fungsi badan.

Beliau berkata seorang pakar Dr Edmond Ong, menerangkan bahawa Nauren memerlukan penjagaan dan perhatian sepenuh masa kerana kecederaannya boleh merebak dalam jangka waktu dan akhirnya akan tersadai di katil.

Jerald juga berhujah bahawa jumlah bagi ganti rugi am perlu dinaikkan kerana lumpuh yang ditanggung oleh Nauren adalah unik oleh kerana beliau mengalami sakit 24 jam berterusan.

Peguam bagi Chew, Shanta Mohan menggesa mahkamah mengekalkan jumlah RM200,000 yang dianugerahkan oleh Mahkamah Tinggi bagi ganti rugi am atas alasan jumlah itu adalah yang tertinggi dapat diberikan di bawah undang-undang.

Beliau berkata tidak ada bukti perubatan yang menyatakan bahawa Nauren lumpuh sepenuhnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain