suria

Polis tahan 18 lelaki dan rampas 21 mesin judi

KUALA LUMPUR: Polis, dalam usaha membanteras kegiatan judi haram, semalam menahan 17 lelaki yang sedang leka berjudi di sebuah kafe siber di sini serta seorang penjaga kafe itu.

Dalam Operasi Dadu itu, polis turut merampas 21 unit mesin judi dari kedai itu yang terletak dalam sebuah pusat membeli-belah di Jalan Imbi.

Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata mereka yang ditahan berumur antara 20 dan 30 tahun dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (B)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas atau penjara tidak melebihi lima tahun, katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

"Kita percaya modus operandi yang digunakan pemilik adalah berselindung di sebalik lesen pusat internet," katanya dan menambah, kejayaan tersebut hasil intipan dan risikan polis selepas mendapat maklumat daripada orang ramai yang curiga dengan kafe siber di pusat membeli-belah berkenaan.

Beliau berkata tujuh anggota polis terbabit dalam operasi selama dua jam itu yang bermula kira-kira 4 petang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain