suria

Dua ahli geng rompak ditahan, seorang cedera ditembak

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang disyaki anggota geng rompak dan turut terbabit dalam satu kes merogol seorang remaja perempuan ditahan polis, dalam dua kejadian berasingan di Rawang dan di Sri Gombak malam kelmarin dan pagi semalam.

Seorang daripadanya cedera di peha kirinya selepas ditembak polis dalam satu kejadian berbalas tembakan di Batu 15, Rawang lewat malam kelmarin.

Rakannya pula ditahan setelah cuba melarikan diri daripada kepungan polis dalam serbuan di luar sebuah apartmen di Sri Gombak dekat Batu Caves kira-kira 5 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abdul Samah Mat berkata dalam insiden pertama sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan, terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.

Suspek itu, yang mempunyai enam rekod jenayah sebelum ini dan dipercayai merampas pistol jenis Walter P99 daripada seorang anggota polis di perkarangan Hospital Kuala Lumpur minggu lepas, memecut laju keretanya selepas diminta berhenti oleh polis sebelum keluar dari kereta dan melarikan diri.

"Suspek yang berusia 29 tahun cuba melarikan diri sambil melepaskan satu das tembakan ke arah pihak polis menyebabkan polis terpaksa membalas semula tembakan yang mengenai peha kirinya," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Di dalam kereta tersebut yang dilaporkan hilang di Ipoh, polis menemui 11 butir peluru hidup, sepasang gari, peralatan menghisap ganja, playar, sebilah kapak dan parang serta sebuah radio polis berkomputer.

Suspek kedua cuba melarikan diri dalam kereta Perodua Myvi setelah menyedari kehadiran polis.

"Suspek kemudiannya merempuh seorang anggota polis dengan sengaja sebelum melarikan diri. Polis bertindak melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai kereta suspek sebelum kenderaan itu terbabas ke dalam longkang," katanya.

Beliau berkata polis menemui sehelai jaket pantulan cahaya polis (jaket kuning), sebilah kapak merah, motosikal mainan kanak-kanak, 83 keping pek permulaan UMobile, pelbagai matawang asing dan wang tunai RM250 di dalam keretanya.

Hasil siasatan awal menunjukkan kedua-dua suspek dipercayai merompak sebuah sekolah memandu, sebuah kedai pengurup wang dan sebuah kedai perabot di sekitar ibu kota dua hari lepas.

"Dipercayai kedua-dua suspek tersebut turut terbabit dalam satu kes rogol dan samun pada bulan 26 Mac lepas di mana mereka merogol seorang remaja perempuan berumur 17 tahun dan menyamun wang serta telefon bimbitnya di Kepong," katanya.

Suspek yang ditembak di peha itu pernah terlibat dalam dua kes samun bersenjata, satu kes ugutan dan tiga rekod ordinan darurat.

"Suspek tersebut juga telah mencederakan seorang anggota polis di tempat letak kereta di Hospital Kuala Lumpur pada 13 Okt lepas," katanya.

Katanya kedua-dua suspek yang berasal dari Segambut itu kini berada di Hospital Selayang untuk rawatan dan akan didakwa di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membabitkan penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya enam sebatan, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Lain