Polis tahan tiga lelaki disyaki edar dadah - Semasa | mStar

Polis tahan tiga lelaki disyaki edar dadah

BESUT: Polis menahan tiga lelaki bersama 30 botol kecil serbuk putih dipercayai heroin dianggarkan bernilai RM19,500 setelah menahan sebuah teksi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Kamaruddin Zakaria berkata, dua daripada tiga lelaki itu berumur 26 dan 28 tahun berasal dari Marang, Terengganu, merupakan penumpang teksi berkenaan manakala seorang lagi pemandu teksi, 58, berasal dari Rantau Panjang, Kelantan.

"Tiga lelaki berkenaan dipercayai membawa bekalan dadah itu dari Rantau Panjang untuk diedarkan di daerah Marang," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu sebuah kereta peronda polis telah menahan teksi yang dinaiki lelaki berkenaan untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya, apabila bonet kereta dibuka pihaknya mendapati terdapat sebuah beg pinggang yang di dalamnya mengandungi tiga bungkusan yang setiap satu mengandungi 10 botor kecil serbuk putih dipercayai heroin.

Mohd Kamaruddin berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah sesyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain