suria

Defisit boleh diurus jika bajet struktur dengan baik - Dr M

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan dapat menguruskan defisit bajet jika bajet itu distrukturkan dengan baik.

Katanya defisit 7.6 peratus bukan perkara baharu.

"Defisit Amerika Syarikat ialah 100 peratus tetapi mereka masih boleh menguruskannya.

"Asalkan bajet kita distrukturkan dengan baik, ia boleh diuruskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Menara Mustapha Kamal-Pusat Dagangan PJ di sini malam Jumaat.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyatakan bahawa Bajet 2010 dijangka mencatatkan defisit lebih besar daripada 7.6 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang diunjurkan oleh kerajaan.

Pengarah Eksekutifnya, Prof Emeritus Datuk Dr Mohammed Ariff Abdul Kareem berkata defisit itu kemungkinan melebihi unjuran kerana "saya percaya kutipan cukai tahun ini akan kekurangan daripada sasaran kerajaan."

Menurutnya, kerajaan akan perlu menyelaraskan perbelanjaannya berbanding dengan penyelarasan kepada perolehan bagi mengekang defisit bajet.

"Dengan mempunyai perolehan yang hanya mencukupi untuk menampung perbelanjaan operasi merupakan satu tanda yang merbahaya," kata Mohamed Ariff.

Secara andaian, katanya defisit itu boleh berkembang kepada 15.2 peratus pada 2015 jika kerajaan tidak melakukan sesuatu untuk memotong perbelanjaan.

Dengan itu, beliau memuji hasrat kerajaan untuk memotong 15 peratus daripada perbelanjaan operasinya pada 2010 walau pun katanya "ia merupakan satu langkah berani untuk dilakukan di dalam tempoh setahun." BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain