suria

Anggota geng samun kereta mewah mati ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang anggota geng curi kereta mewah, yang cuba melarikan diri daripada kepungan polis, ditembak mati setelah berbalas tembakan di Jalan Persiaran Barat, di belakang hotel Hilton PJ dekat sini tengah malam tadi.

Chen Khein Hou, 30, yang turut mempunyai enam rekod jenayah membabitkan kes samun dan dadah, mati di tempat kejadian selepas polis terpaksa menembaknya kerana bertindak agresif terhadap polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hasnan Hassan berkata polis membuat pemantauan terhadap lelaki itu sejak 2 petang setelah menemui pelbagai kenderaan mewah dipercayai hasil samun yang disorokkan di kawasan kondominium di Taman Desa.

Kira-kira 12.30 malam, dia dikesan memandu sebuah kereta Toyota Camry berwarna putih di hadapan sebuah restoran berdekatan menara itu tetapi bertindak melanggar kenderaan polis setelah menyedari kehadiran pihak polis, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan ke arah keretanya tetapi dia bertindak memecut dan melarikan diri ke arah Petaling Jaya.

"Polis kemudiannya mengejar kereta suspek hingga ke jalan Persiaran Barat, di belakang hotel PJ Hilton sebelum suspek terbabas dan polis mengepung kereta suspek.

"Suspek yang tidak dapat melarikan diri, tibatiba melepaskan dua das tembakan yang mengenai pintu hadapan sebelah penumpang kereta waja polis. Polis terpaksa membalas tembakan dan suspek mati di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemui empat rantai kunci kereta, tiga bekas kecil mengandungi dadah jenis syabu dan sepucuk Revolver.38 yang digunakan suspek.

Hasnan berkata dalam pemeriksaan selanjutnya di kondominium itu, polis menemui sebuah kenderaan Mercedes Benz, sebuah kereta Toyota Alphard dan sebuah kereta Toyota Camry yang dilaporkan hilang.

"Polis sedang memburu saki baki ahli kumpulan itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain