suria

PAS kehilangan punca di Bagan Pinang

PETALING JAYA: Permintaan PAS untuk menundakan pilihan raya kecil Bagan Pinang yang akan diadakan Ahad ini, sebagai tanda-tanda bahawa parti itu akan kalah pada pilihan raya itu.

"Setakat ini tidak pernah ada pihak yang minta tangguh. Ini menunjukkan PAS sudah kehilangan punca dan semakin terdesak," kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam selepas merasmikan Restress Kopitiam di sini semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pilihan raya kecil itu yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berdepan dengan Pesuruhjaya PAS negeri Zulkefly Mohamad Omar dalam pertandingan satu lawan satu.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kosong ekoran penyandangnya Azman Mohammad Noor, yang mewakili BN meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah pada 4 Sept lepas.

Mohd Ali yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno ketika merasmikan Restress Kopitiam itu, memuji usaha pemilik kedai tersebut, Syarikat Perwira Bintang, yang berjaya menghasilkan bahan binaan daripada hasil sisa pertanian.

Kopitiam itu merupakan restoran tempatan pertama yang menggunakan kelengkapan seperti meja, kerusi, lantai dan dinding yang diperbuat daripada bahan berasaskan sekam padi, sabut kelapa dan sabut kelapa sawit.

"Penggunaan bahan daripada sisa pertanian ini, saya percaya dapat mengurangkan penggantungan terhadap sumber asli seperti kayukayan dan batubatan yang kian pupus," katanya sambil menambah ia juga dapat memberi banyak manfaat kepada sektor pertanian negara terutamanya petanipetani yang mengusahakan padi, kelapa dan kelapa sawit.

Kumpulan Syarikat Perwira Bintang Holdings merupakan syarikat pembinaan yang baru menceburi industri makanan dan minuman. BERNAMA

Artikel Lain