suria

Siasatan penjualan tanah Kampung Buah Pala dijangka siap bulan ini

PULAU PINANG: Siasatan sama ada wujud penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa berhubung penjualan tanah Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor di sini dijangka siap bulan ini.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang Latifah Md Yatim berkata, siasatan itu, yang dijalankan setelah menerima aduan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang Julai lalu, kini dalam peringkat akhir untuk disiapkan.

"Kita kini berada di peringkat akhir siasatan dan laporannya dijangka siap sepenuhnya bulan ini," katanya kepada pemberita selepas Program Gerak Mesra SPRM Pulau Pinang bersama masyarakat di sini hari ini.

Program itu, yang dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, turut dihadiri oleh Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob.

Pada 13 Julai lepas, Timbalan Ketua Menteri I dan II Pulau Pinang, Mansor Othman dan P.Ramasamy membuat laporan kepada SPRM Pulau Pinang berhubung penjualan tanah di Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor di sini.

Ramasamy dilaporkan sebagai berkata laporan itu dibuat bagi meminta SPRM menyiasat sama ada wujud penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa semasa proses penjualan tanah berkenaan oleh kerajaan negeri terdahulu kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang.

Pada 25 April 2007, tanah itu sepatutnya dijual kepada Koperasi itu dengan harga RM6.42 juta tetapi telah diberi diskaun 50 peratus oleh kerajaan negeri terdahulu.

Pada perkembangan lain, Latifah berkata kertas siasatan berhubung dakwaan kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin telah dihantar ke bahagian pendakwaan.

"Kertas siasatan berkenaan telah dihantar ke bahagian pendakwaan dan kita sedang menunggu arahan selanjutnya," katanya.

SPRM negeri telah membuka semula siasatan terhadap Mohammad Fairus setelah menerima bukti baru berhubung kes berkenaan Ogos lepas.

Siasatan terhadap Mohammad Fairus bermula Mac tahun ini dan sebulan kemudian SPRM memutuskan bahawa kenyataan yang direkodkan itu tidak mempunyai asas pertuduhan dan kes itu telah ditutup.

Mohammad Fairus daripada Parti Keadilan Rakyat telah meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan anggota Exco Kerajaan Negeri pada 8 April tahun ini serta melepaskan jawatan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti pada 16 April tahun yang sama. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain