suria

Pemandu maut, lapan cedera dalam kemalangan bas dan treler

KAMPAR: Seorang pemandu bas ekspres maut, lapan penumpang cedera termasuk seorang parah apabila bas berkenaan merempuh belakang sebuah treler membawa muatan besi di Km 305 Lebuhraya Utara-Selatan, awal hari ini.

M.Mahendran, 43, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. Mayatnya dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata penumpang yang parah ialah seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an dan dia kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Tujuh lagi penumpang yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kampar dan mereka kemudian meneruskan perjalanan dengan bas gantian, katanya.

Beliau berkata kejadian berlaku pada pukul 2.45 pagi ketika bas yang membawa lapan penumpang itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

Abdul Aziz berkata akibat kejadian itu, bahagian hadapan bas berkenaan remuk menyebabkan anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mayat pemandu bas yang tersepit di antara keduadua kenderaan itu.

Siasatan awal polis mendapati pemandu bas terbabit mengantuk ketika kemalangan, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain