suria

Penganggur, jurusolek dijatuhi hukuman mati bunuh aktres Singapura

Pelakon yang berasal dari Singapura, Una Angelia Oliveiro ditemui mati dibunuh pada 14 November 2001
Pelakon yang berasal dari Singapura, Una Angelia Oliveiro ditemui mati dibunuh pada 14 November 2001
Pelakon yang berasal dari Singapura, Una Angelia Oliveiro ditemui mati dibunuh pada 14 November 2001

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dan jurusolek dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah membunuh penerbit dan juga pelakon drama "Kipas Anggun" pada 2001.

Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Mohd Fazli Ismail, 27, dan Esma Faizul Zainul Nor, 38 dalam melakukan pembunuhan terhadap Una Angelia Oliveiro, 44, seorang warganegara Singapura.

Mohamed Apandi berkata kedua-dua tertuduh Mohd Fazli dan Esma Faizul akan digantung sehingga mati sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 277 Kanan Acara Jenayah.

Mohd Fazli dan Esma Faizal didakwa melakukan pembunuhan itu di banglo milik mangsa di No. 20, Jalan Bukit Travers, Brickfields kira-kira 11.15 pagi pada 14 November 2001.

Mohamed Apandi dalam penghakimannya berkata pembelaan kedua-dua tertuduh lebih merupakan penafian semata-mata, di mana mereka mengaku berada di rumah tersebut pada hari kejadian hanya untuk memberikan kad jemputan perkahwinan.

Beliau berkata setelah meneliti dan membuat penilaian, mahkamah telah mengambil kira keterangan daripada pengakuan kedua-dua tertuduh sendiri dalam melakukan perbuatan itu.

Mohamed Apandi berkata keterangan saksi Siti Sarah Ismail menyatakan bahawa Esma Faizul yang merupakan kekasihnya telah mengaku membunuh Una Angelia beberapa jam selepas kejadian.

Sementara itu, Mohd Fazli yang juga adik kepada Siti Sarah telah membuat pengakuan serupa kepada rakannya Zainy Roduan.

"Tidak ada secebis keterangan untuk membolehkan mahkamah ini untuk tidak mempercayai keterangan kedua-dua saksi ini dan lebih-lebih lagi Esma Faizul mengenali mangsa," jelas hakim.

Mengenai hujah peguam Esma Faizul, Amer Hamzah Arshad bahawa Siti Sarah "terkeliru" ketika memberi keterangan tentang pengakuan itu, Mohamed Apandi berkata itu hanya satu cadangan daripada peguam dam mahkamah berpuas hati dengan perilaku saksi yang menyatakan pengakuan itu memang datang daripada mulut tertuduh sendiri.

Mohamed Apandi menjelaskan bahawa selain pengakuan tertuduh, mahkamah juga bergantung kepada fakta bahawa kedua-dua tertuduh memang berada di tempat kejadian dan pisau yang digunakan untuk ditikam telah diambil daripada rumah si mati.

Selain itu, mahkamah juga mengambil kira elemen niat bersama, di mana tertuduh pertama Mohd Fazli telah meminjam pistol dua minggu sebelum kejadian yang membuktikan wujudnya perancangan awal dan kedua-dua mereka telah bersama-sama pergi ke rumah si mati dengan menaiki kereta.

Keterangan saksi Florencia Estapon, pembantu rumah warga Filipina bahawa kedua-dua tertuduh menggunakan kekerasan bersenjatakan pisau dan pistol, mengukuhkan lagi kes pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa Esma Faizal pernah dipenjara selama 15 bulan pada 1995 di atas kesalahan memiliki kanabis.

Mengikut fakta kes, Una Angelia telah ditikam 12 kali, di mana enam daripada tikaman tersebut di bahagian dada dan paru-paru.

Ketika kejadian, mendiang telah berkahwin dengan seorang warga Finland dan mempunyai tiga orang anak berumur di antara 11 hingga 14. BERNAMA

Artikel Lain