suria

Bekas tentera ditahan miliki wang palsu

KUALA LUMPUR: Seorang bekas tentera ditahan setelah polis menemui 675 keping wang palsu 1,000 Rupee yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM45,000 di dalam beg plastik miliknya di sebuah premis di Selayang Baru dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata lelaki berumur 55 tahun itu ditahan di premis kira-kira 1 pagi setelah melakukan risikan awal.

Beliau berkata hasil siasatan awal terhadap lelaki itu, polis memberkas dua lagi rakannya yang bekerja sebagai pekebun dan pembantu kolej ketika mereka sedang menunggu di sebuah kedai makan berhampiran.

"Hasil pemeriksaan terhadap dua lelaki itu, yang masing-masing berusia 40 dan 32 tahun itu, polis menjumpai dua helai mata wang sama di dalam sebuah kereta yang dimiliki seorang daripada mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

Polis juga merampas tiga telefon bimbit daripada lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut dan mereka kini ditahan kerana kesalahan memiliki wang palsu, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain