suria

Polis selesai tujuh kes samun dan ragut di Shah Alam

SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki dan percaya berjaya menyelesaikan tujuh kes samun tepi jalan dan ragut yang berlaku bulan ini di sekitar Shah Alam.

Timbalan Ketua Polis Shah Alam Supt M. Chandrasehkaran berkata dua lelaki berusia antara 29 dan 30 tahun, masingmasing ditahan Isnin dan Selasa lepas sekitar Seksyen 28.

"Dua lelaki berkenaan yang menaiki motosikal menyamun seorang warga Indonesia berumur 23 tahun di Seksyen 28 dengan menggunakan pisau dan merampas sebuah telefon bimbit daripada mangsa kira-kira pukul 9 malam, Isnin lepas.

"Hasil maklumat orang ramai, salah seorang daripada mereka berjaya ditahan polis pada hari kejadian itu, manakala seorang lagi ditahan keesokan harinya berdasarkan soal siasat yang dijalankan ke atas suspek pertama, " katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.

Chandrasehkaran berkata salah seorang suspek itu yang dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh tiga minggu lepas, mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi mempunyai empat rekod jenayah.

Beliau berkata dengan tertangkapnya dua suspek berkenaan, polis percaya berjaya menyelesaikan tujuh kes samun dan ragut di sekitar Shah Alam.

Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 28 September ini.

Sementara itu, Chandrasehkaran berkata, polis turut menahan dua lelaki berusia antara 22 dan 43 tahun yang dipercayai memeras ugut seorang kontraktor yang kehilangan seutas jam tangan berjenama Rolex bernilai RM27,000 berserta wang tunai sebanyak RM15,000 dan cincin dekat Kota Kemuning di sini awal pagi Rabu lepas. "Dua lelaki bersenjatakan parang dan bertopeng mulut dan hidung itu bertindak memberhentikan kenderaan Toyota Camry yang dipandu kontraktor di sekitar Seksyen 25 di sini kira-kira 12.30 tengah malam Rabu lepas, ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari Klang ke Kemuning Utama.

"Suspek berkenaan yang menaiki kereta itu, minta mangsa membawa mereka ke kediaman (mangsa) di Seksyen 3, Kemuning Utama dan apabila sampai di rumah, mangsa buka kereta dan melarikan diri ke rumahnya itu. Kenderaan mangsa pula ditinggalkan suspek berdekatan kawasan perumahan Seksyen 3," katanya.

Chandrasehkaran berkata pihaknya berjaya merampas balik wang tunai sebanyak RM2,000 dan sebilah pisau Rambo yang digunakan keduadua suspek dan mereka ditahan reman sehingga 28 Sept ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain