suria

Rompakan kedai emas gagal apabila penggera berbunyi

KUALA LUMPUR: Sekumpulan perompak yang berjaya memecah masuk sebuah kedai emas di Pandan Jaya di sini semalam, berputih mata apabila terpaksa melarikan diri sebelum melakukan jenayah kerana penggera keselamatan premis tersebut berbunyi secara tiba-tiba.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.30 malam tadi, perompak itu berjaya memasuki premis tersebut setelah memecahkan dinding batu di premis bersebelahan yang menghubungkan dengan kedai emas itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin berkata perompak kemudiannya mematikan tiga kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hadapan premis kedai emas tersebut.

"Lubang yang ditebuk di belakang premis yang ditutup operasinya semalam dan hari ini bersempena cuti umum itu, boleh memuatkan seorang dewasa untuk masuk ke dalamnya.

"Ketika perompak berada di dalam premis itu, tiba-tiba penggera keselamatan berbunyi, kereta peronda polis dikejarkan ke tempat kejadian. Bagaimanapun mereka berjaya melarikan diri," katanya ketika dihubungi.

Amiruddin berkata kesemua barang kemas di premis itu disimpan di dalam peti besi dan tidak diletakkan di ruang pameran pada ketika itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut diminta menghubungi terus IPD Ampang Jaya di talian 0342897222.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemilik premis agar memantau kedaikedai mereka yang ditinggalkan sempena cuti perayaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain