suria

Ibu cedera cuba selamatkan anak dalam kebakaran

KOTA BAHARU: Seorang ibu melecur di bahagian badan dan muka ketika cuba menyelamatkan anaknya yang sedang tidur semasa rumah mereka di Kampung Pendek, Salor, dekat sini, terbakar pagi ini.

Zainun Ahmad, 42, yang meredah api untuk menyelamatkan diri dan anaknya kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Sebuah rumah berjiran juga musnah dalam kejadian itu.

Menurut suami mangsa, Mohd Zaini Mat Ali, 42, seorang pembantu pejabat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang kerian, Hari Raya kedua ini memilukan kerana rumah peninggalan orang tuanya hangus sama sekali.

"Kerugian dianggarkan kira-kira 20,000 tetapi saya bersyukur kerana isteri dan anak, Nursahira, 12, terselamat dalam kebakaran itu," katanya ketika ditemui di tapak rumahnya itu.

Menurut beliau, ketika isterinya cuba menyelamatkan anaknya itu, beliau keluar rumah untuk meminta pertolongan jiran.

Penghuni rumah yang satu lagi, Abdul Ghani Salleh, 65, berkata beliau juga tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya turut hangus dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Ghani Mamat, Ketua Operasi Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kota Darulnaim, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran pada pukul 8.55 pagi dan bergegas bersama sebuah jentera dan tujuh anggota.

Bomba berjaya mengawal api dalam tempoh 15 minit. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain