suria

Tiada kumpulan penyokong Murugiah dalam parti, kata PPP

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) hari ini berkata tidak wujud kumpulan penyokong Senator Datuk T. Murugiah yang dipecat sebagai ahli majlis tertinggi parti Mei lepas.

"Jika dia ada penyokong seperti didakwanya maka dia boleh membentuk sebuah parti. Tidak wujud perkara seperti kelab, jangan cuba mengelirukan rakyat mengenai perkara seperti ini, kata Ketua Penerangan PPP A.Chandrakumanan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media memetik Murugiah, sebagai berkata beliau sedang merangka pelan untuk mengasaskan masa depan politiknya dengan kumpulan penyokongnya di kalangan ahli parti.

Murugiah sebelum ini dipecat daripada anggota majlis tertinggi parti oleh Lembaga Disiplin PPP kerana didakwa melakukan pelbagai kesalahan.

Murugiah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut mengisytiharkan dirinya sebagai presiden baru PPP selepas mengadakan mesyuarat agung luar biasa di Putrajaya Mei lepas.

Bagaimanapun, Pendaftar Pertubuhan (ROs) mengesahkan pemecatan keahliannya dalam PPP dan mengisytiharkan mesyuarat luar biasa yang diadakan oleh Murugiah itu tidak sah.

Murugiah membuat rayuan terhadap keputusan ROS itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain