suria

Hormati pelan persaraan Samy, kata Ketua Penerangan MIC

PETALING JAYA: Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan, yang dilantik Ahad lalu, mempertahankan pelan persaraan yang dijanjikan Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu kepada Perdana Menteri baru-baru ini.

Sehubungan itu beliau berkata, semua pihak perlu berlaku adil dengan membiarkan keputusan dibuat Presiden (Samy Vellu) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak) berjalan sebagaimana dipersetujui mereka.

Mengulas pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Samy Vellu adalah satu liabiliti dan wajar berundur daripada memimpin MIC, Kamalanathan berkata, bekas Ahli Parlimen Sungai Siput itu merupakan Presiden yang dipilih tanpa saingan dengan memperoleh 571 pencalonan yang bersamaan dengan sokongan 3,426 ketua cawangan.

"Sebagaimana disebutkan oleh Samy Vellu, beliau sudah pun bercakap dengan Perdana Menteri berkenaan pelan persaraan yang telah dipersetujui.

"Oleh itu adalah adil keputusan yang dibuat oleh Presiden parti dan Perdana Menteri berjalan sebagaimana dipersetujui," katanya.

Semalam dipetik Bernama, Samy Vellu memberitahu, beliau telah membincangkan pelan persaraannya dengan Najib Jun lalu dan akan tetap berpegang kepada pelan itu.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan tarikh yang sebenar.

Pada Sabtu lalu Samy Vellu memberitahu wartawan yang membuat liputan Perhimpunan Agung MIC Ke-63, MIC akan terjejas kestabilannya jika beliau berundur sekarang.

"Saya telah berbincang secara terus terang dengan Perdana Menteri ketika saya menemuinya di Sarawak di mana saya memberitahunya mengenai pelan (persaraan) saya.

"Saya akan berpegang kepada apa yang saya katakan kepada Perdana Menteri dan saya tidak akan mengubahnya (pelan saya)," kata beliau semalam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain