suria

Polis tumpas geng curi pendingin hawa

KUALA LUMPUR: Polis percaya mereka telah menumpaskan 'Geng Aircond' dengan tertangkapnya tiga lelaki di Seri Kembangan dan Serdang Jaya, Selasa lepas.

Ketua Polis daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata polis kini sedang menjejaki seorang wanita yang dipercayai anggota keempat geng itu yang aktif mencuri pendingin hawa sejak enam bulan lepas.

"Suspek yang ditahan berumur 38 tahun bekerja di sebuah syarikat pendingin hawa di Seri Kembangan ditahan pada pukul 2 pagi hari berkenaan manakala dua lagi suspek yang berumur 22 dan 24 tahun ditahan kirakira 20 minit kemudian di Serdang Jaya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hasil daripada penahanan itu, polis menemui semula 50 unit pendingin hawa dan 50 unit kompresor yang disorokkan di sebuah rumah di Seri Kembangan yang dianggarkan bernilai RM100,000.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Bari berkata modus operandi geng itu ialah sama ada menyewa atau memecah masuk dan mencuri pendingin hawa di kondominium berkenaan.

Katanya kumpulan itu menggunakan seorang wanita berusia lewat 20an untuk menyewa kondo mangsa.

"Wanita itu menyewa kondo mangsa yang juga pengadu pada 28 Julai lepas dan suspek turut memberi sekeping cek bernilai RM12,500 kepada mangsa sebagai deposit," katanya.

Beliau berkata apabila mangsa mahu menunaikan cek terbabit di sebuah bank Jumaat lepas pihak bank memberitahu bahawa akuan bank wanita itu telah ditutup. "Apabila mangsa ke kondonya di Danau Villa di Jalan Klang Lama mangsa mendapati kondonya itu tidak berkunci dan mendapati enam unit pendingin hawa dan enam unit kompresor di kondonya hilang," katanya.

Wan Abdul Bari berkata rakaman kamera litar tertutup di kondo terbabit menunjukkan suspek melarikan semua unit pendingin hawa menggunakan sebuah lori.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan ketigatiga suspek ditahan reman selama 5 hari bermula Selasa lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno adalah parti Islam, kata Najib

Artikel Berikut

Artikel Lain