suria

Kes liwat Anwar: Rayuan pembekalan dokumen didengar 23 Okt

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 23 Okt untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi untuk membekalkan dokumen yang diminta Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memudahkannya membuat persediaan pembelaan dalam kes liwatnya.

Mahkamah juga menetapkan hari yang sama untuk mendengar rayuan balas Anwar terhadap keputusan mahkamah yang sama yang tidak membenarkan permohonannya bagi mendapatkan sampel spesimen daripada pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Jumirah Marjuki semasa pengurusan kes itu hari ini.

Pada 16 Julai lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan ketua pembangkang itu untuk mengarahkan pihak pendakwaan membekalkan kepada mereka kenyataan para saksi iaitu Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari PUSRAWI, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid dan kenyataan tiga saksi lain dan dokumen lain.

Bagaimanapun, mahkamah yang sama pada pada 24 Julai membenarkan penangguhan perintah itu sementara menunggu rayuan pihak pendakwaan diputuskan Mahkamah Rayuan. Anwar, 62, menghadapi pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, di sini pada 26 Jun, tahun lepas.

Kes liwatnya ditetapkan untuk sebutan esok.

Permohonan Anwar bagi semakan kehakiman bagi menggugurkan kenyataan bertulis yang dikeluarkan pihak pendakwaan yang mengisytiharkan tiada "fakta munasabah" dalam pembelaan Anwar terhadap pertuduhan liwat yang dihadapinya juga akan disebut esok.

Permohonan Anwar bagi kebenaran semakan kehakiman untuk melucutkan kelayakan tujuh pendakwa raya daripada mengendalikan perbicaraan itu akan bersambung pada Khamis. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain