suria

Hujan lebat tidak menghalang Rohaizat untuk berkempen

BUKIT MERTAJAM: Hujan lebat tidak menghalang calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman untuk meneruskan kempennya menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir Pasir, Selasa ini.

Rohaizat memulakan kempennya dengan diiringi beberapa pekerja jentera pilihan raya BN dengan melawat dari rumah ke rumah.

Apabila tiba di Kampung Sama Gagah pukul 10 pagi, perkampungan yang dihuni majoriti masyarakat Cina, Rohaizat mengetuk pintu sambil bertanya khabar dan menjelaskan mengenai perancangan BN bagi kawasan itu kepada para penduduk sebelum hujan mula turun.

Rohaizat, yang juga setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, tetap meneruskan perjalanannya kira-kira 300meter sebelum pasukannya bertembung dengan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim di MCA bahagian Permatang Pauh.

Antara aduan yang kedengaran dari para penduduk adalah mengenai kekurangan kemudahan saliran dan infrastruktur di kawasan itu.

Bagaimanapun, Rohaizat telah berjanji untuk berkhidmat dengan orang ramai dan menyelesaikan masalah mereka jika beliau diberikan peluang.

Sebaik Rohaizat meninggalkan perkampungan itu, Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat mengiringi calon PAS Mohd Salleh Man dalam kempen mereka di kampung yang sama.

Rais juga kelihatan di tempat yang sama mengagihagihkan Jalur Gemilang kepada para penduduk.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada Pas pada 31 Julai akibat sakit jantung. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain