suria

“Pembunuhan karektor” kini menguasai kempen Permatang Pasir

[ANALISIS BERITA] SEBERANG PRAI: Nampaknya, kempen pada pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir kini telah bertukar menjadi medan “membunuh karektor” kedua-dua calon BN dan PAS dengan pendedahan demi pendedahan pelbagai kisah pribadi dan juga apa yang telah berlaku sebelum mereka secara rasmi diisytiharkan sebagai calon parti masing-masing.

Ramai pemerhati politik melihat, suasana ini tidak berlaku pada beberapa siri pilihanraya kecil yang lalu - samada di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang mahupun yang terbaru di Manek Urai.

Ini kerana mereka berkata, yang menjadi isu kempen pada pilihanraya kecil yang lalu ialah sama ada soal kesesuaian pemilihan calon yang diterima rakyat, soal politik nasional atau tempatan mahu pun dasar atau ideologi parti.

Tetapi nampak gaya di Permatang Pasir sejak kedua-dua parti menamakan calon masing-masing, yang menjadi isu dan diperkatakan orang ialah soal-soal yang berkisar kepada isu-isu peribadi calon dan amat jelas sekali ia sedang menuju ke arah “pembunuhan karektor” bukannya soal siapa yang boleh membawa pembaharuan, pembangunan atau perubahan kepada untung nasib masyarakat setempat.

PAS adalah pihak yang pertama mendedahkan isu tersebut.

Calon BN, Rohaizat Othman sejak hari pertama namanya diumumkan sebagai calon telah dikaitkan dengan soal integriti iaitu tindak tanduk firma guamannya mengendalikan satu kes yang melibatkan pelanggan mereka, sebuah koperasi Bumiputera di Pulau Pinang berhubung soal pembelian tanah sehingga menyebabkan lesen amalan guamannya ditarik balik oleh badan yang mengawalselia aktiviti dan etika profesion guaman di Malaysia iaitu Majlis Peguam.

Walaupun Rohaizat dan lain-lain pemimpin UMNO telah memberikan penjelasan bahawa isu tersebut diselesaikan secara baik antara Rohaizat dan pelanggan firma gaumannya itu malah Rohaizat tidak dicaj di mahkamah atas apa jua pertuduhan atau disabitkan dengan apa jua kesalahan sivil mahupun jenayah tetapi ia tidak meredakan keadaan. Sebaliknya pada pagi Khamis, 20 Ogos, bekas rakan kongsi firma guaman Rohaizat muncul dalam satu sidang akhbar mengakui wujudnya salah guna wang Koperasi Pekebun-pekebun Getah Pulau Pinang tujuh tahun lalu, tetapi mahu tanggungjawab itu dipikul bersama, bukannya beliau hanya seorang.

Yusri Isahak, yang muncul buat pertama kali sejak timbulnya isu ini minggu lalu memberitahu, beliau mengetahui dari awal lagi apa yang berlaku dalam firma guaman mereka kerana segala urusan dibuat adala hasil perbincangan bersama. Yusri, 39, memberitahu beliau muncul pagi ini bagi membersihkan namanya memandangkan ada pihak yang menjadikannya kambing hitam ketika kempen pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.

"Saya tidak menafikan (pengunaan wang koperasi)... urusan firma dilakukan atas perbincangan kami berdua," kata beliau pada sidang media di sini pagi ini.

"Saya mengambil tanggungjawab tetapi bukan sepenuhnya, saya dijadikan kambing hitam, hanya saya seorang sahaja (dipersalahkan)," katanya pada sidang media di Yayasan Aman, Penanti dekat sini.

Ketika menjelaskan isu ini, Yusri berkata, pada tahun 2002 Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang Berhad bercadang untuk membeli sebidang tanah bagi meluaskan perniagaan mereka dan telah melantik firma guaman Saif Ariff and Rohaizat untuk menguruskannya.

Saif merupakan seorang lagi rakan kongsi firma mereka di Seberang Jaya.

Katanya, setelah semua dipersetujui beliau telah menyediakan perjanjian jual beli tersebut.

"Untuk tujuan pembelian ini, koperasi telah memohon pinjaman RM320,000 daripada Jabatan Pembangunan Koperasi. Pinjaman tersebut telah diluluskan dan wang tersebut dideposit ke dalam akaun klien di firma guaman.

"Namun atas sebab masalah komunikasi dengan penjual yang tinggal di Aceh, jual beli tersebut telah tidak dapat disempurnakan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, koperasi tersebut memerlukan sejumlah wang untuk tujuan pengembangan perniagaan mereka.

Yusri telah menandatangani satu cek berjumlah RM100,000 atas nama koperasi dan diberikan kepada pihak pengurusan koperasi.

"Maka baki RM220,000 masih tersimpan di dalam akaun firma," katanya.

Yusri seterusnya berkata, sementara itu seorang pelanggan kenalan Rohaizat yang telah membeli sebidang tanah dengan harga RM130,000 telah memohon jasa baik firma untuk membiayai bayaran baki RN100,000.

"Beliau terdahulu telah membayar RM30,000 kepada penjual.

"Firma telah bersetuju untuk meminjamkan RM100,000 yang diambil dari wang koperasi kepada pelanggan untuk menyempurnakan jual beli tanah tersebut dengan syarat beliau membayar balik pinjaman," katanya.

Setelah pelanggan gagal membayar balik pinjaman, Rohaizat telah berbincang dan bersetuju untuk mengambil alih milik tanah berkenaan dan melupuskan pinjaman tersebut, katanya.

"Malangnya firma gagal menjual keseluruhan tanah sebagai pecahan lot dan tidak dapat membayar kembali wang koperasi yang telah digunakan," katanya.

Yusri menambah, sebahagian dari baki dalam akaun pelanggan dan akaun syarikat telah digunakan untuk memberi pinjaman kepada salah seorang pengarah sebuah syarikat pemaju perumahan yang juga kenalan Rohaizat yang menghadapi masalah kewangan teruk dan juga untuk pengurusan cawangan baru firma di Ipoh.

"Saya bertanggungjawab menguruskan cawangan firma di Ipoh sementara Rohaizat menumpu sepenuhnya di firma Butterworth. Saya tidak lagi memantau akauan-akaun klien di cawangan Butterworth sehinggalah saya meninggalkan firma pada November 2003," katanya lagi.

Tambah Yusri, segala urusan pembelian tanah tersebut dan penggunaan wang koperasi dibuat dengan pengetahuan dan penglibatan Rohaizat.

"Kami dipisahkan dengan bilik yang terletak bersebelahan. Ini bukan tembok besar China," katanya.

"Mana mungkin pengaliran keluar dan masuk wang dalam sesuatu akaun syarikat tidak diketahui oleh Rohaizat yang juga penandatangan yang sah untuk akaun-akaun tersebut.

"Sepatutnya Rohaizat menceritakan perkara sebenar dan tidak meletakkan tanggungjawab dan kesalahan hanya kepada rakan kongsi untuk membebaskan dirinya sendiri," katanya.

Menjawab rujukan Umno yang menganggap Rohaizat sebagai "wira" kerana telah membayar balik wang koperasi, Yusri memberitahu, "saya ingin tegaskan sesungguhnya beliau sewajarnya telah menyelesaikan pembayaran pada 2003 lagi ketika cawangan Ipoh telah menjana pendapatan agak lumayan.

Yusri menambah, beliau sedang memikirkan untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan fitnah ke atas mereka yang mengatakan isu ini berpunca daripada tindakannya semata-mata. Tetapi apa yang lebih menarik ialah pada masa yang sama Yusri berkata, jika berpeluang untuk mengundi, beliau akan mengundi Rohaizat.

"Saya akan pilih Rohaizat," kata Yusri sambil menambah, "ini kerana Rohaizat adalah kawan saya."

"Dia kawan lama saya," katanya.

Isu tersebut tidak terhenti setakat itu. Tidak lama selepas Yusri mengeluarkan kenyataan, tiba giliran calon Pas Mohd Salleh Man pula berhadapan dengan isu mengenai dirinya. Sebuah blog telah mendedahkan kononnya Salleh telah mengelapkan wang parti sebanyak RM600,000.

Sejauh mana kaitannya isu tersebut dengan tersebarnya satu SMS yang mengatakan Salleh Man sedang berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada sebuah bank perdagangan kerana urusan pinjaman yang tidak berbayar, tidak pula diketahui kesahihannya. Tetapi hakikatnya ialah, Salleh Man sepertimana juga Rohaizat kini turut berdepan dengan konspirasi “pembunuhan karektor”.

Dan dalam perkembangan yang berkaitan, PAS dalam langkah segera untuk membersihkan nama Salleh Man telah meminta penulis blog yang membuat dakwaan kononnya Salleh menggelapkan wang parti sebanyak RM600,000 supaya tampil membuat kenyataan secara terbuka bersama bukti.

Agensi berita nasional (Bernama) telah memetik Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mahfuz Omar sebagai berkata, penulis blog itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana tidak berani tampil untuk membuat aduan kepada mana-mana pihak berkuasa sekiranya perkara itu benar.

"Orang yang membuat kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan bersembunyi di sebalik blog yang tidak bernama.

"Kalau mereka berani, mereka harus tampil atau buat aduan kepada manamana pihak sama ada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Permatang Pasir.

Mahfuz berkata kalau ada mana-mana pemimpin Umno atau Barisan Nasional (BN) berani menyatakan Mohd Salleh mengelapkan wang, mereka juga harus tampil dengan bukti. "Kalau mereka ada bukti, silalah buat kenyataan di mana-mana tempat khususnya di Permatang Pasir sebelum hari pengundian 25 Ogos ini," katanya.

Laporan blog "bigdogdotcom" yang disiarkan hari ini menyebut semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh tahun lepas, seorang pemimpin PAS Pulau Pinang membangkitkan kononnya peruntukan jentera pilihan raya parti itu sebanyak RM600,000 telah digelapkan Mohd Salleh.

Laporan blog itu menyebut kononnya dakwaan itu dibuat sendiri oleh Naib Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa dan bekas Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang Zulkifli Lazim.

Pilihanraya kecil Permatang Pasir pada 25 Ogos ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, dengan Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd Salleh Man, 52.

Seramai 20,290 pemilih layak mengundi Selasa ini bagi memilih pengganti kepada Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, wakil tunggal Pas di DUN Pulau Pinang yang meninggal dunia pada 31 Julai lepas akibat serangan sakit jantung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain