suria

Mayat bayi ditemui dalam pengepam tandas

ALOR SETAR: Mayat seorang bayi lelaki ditemui di dalam pengepam mangkuk tandas oleh seorang pekerja pencuci tandas di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena dekat sini, semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kota Setar, DSP Fiesal Libertus Abdullah berkata ketika ditemui sebahagian anggota badan bayi itu berada di dalam pengepam berkenaan.

Katanya pencuci yang terkejut dengan penemuan tersebut memaklumkan kepada pengetua sekolah dan membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena pukul 12 tengah hari semalam. Menurut Fiesal mayat bayi itu tidak berpakaian, berbau dan masih mempunyai tali pusat, dipercayai dibuang dua hari lepas.

Beliau berkata polis menahan seorang wanita berumur 40an yang turut bekerja sebagai pencuci di sekolah tersebut dan suaminya seorang penoreh getah bagi membantu siasatan.

"Wanita itu mempunyai lima orang anak berumur antara 13 dan 24 tahun ditahan di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana menerima rawatan akibat pendarahan," katanya.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh bayi dan Seksyen 318 akta sama kerana menyembunyikan kelahiran. BERNAMA

Artikel Lain