suria

Lima pemegang TOL Kampung Buah Pala terima tawaran pemaju

PULAU PINANG: Lima pemegang lesen tumpangan sementara (TOL) di Kampung Buah Pala telah menerima tawaran rumah dua tingkat daripada pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.

Pengarahnya Thomas Chan mengesahkan bahawa lima pemilik rumah itu telah menandatangani surat tawaran itu pada minggu lepas.

"Mereka telah menerima tawaran itu sebelum tarikh akhir tamat pada tengah hari, Jumaat lepas," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Katanya pemaju tidak akan melayan penduduk yang lain yang telah menolak tawaran itu dan tiada sebarang tawaran akan dibuat pada masa depan.

"Apa yang perlu ditawarkan telah dibuat dan kami harap penduduk yang lain yang telah menolak tawaran itu agar selamat berjaya," katanya sambil berkata bahawa syarikatnya telah mengalami kerugian kira-kira RM12 juta sejak 18 bulan lalu berikutan kelewatan projek itu.

Chan enggan mendedahkan bila kerja-kerja perobohan kampung itu akan dimulakan.

Katanya isu Kampung Buah Pala akan meningkatkan harga hartanah di negeri itu.

"Pampasan yang kita tawarkan kepada penduduk kampung itu akan memberikan kesan besar kepada pemaju lain yang masih belum memajukan tanah mereka," katanya.

Katanya apabila lebih banyak pampasan yang diberi oleh pemaju, harga rumah akan meningkat kerana perniagaan itu sentiasa mahukan keuntungan.

"Tidak ada perkara percuma kerana pemaju akan meletakkan jumlah pampasan itu ke atas harga rumah dan secara tidak langsung pembeli rumah terpaksa membayar lebih," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain