suria

Peniaga bebas daripada tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang peniaga terhadap pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM300 kepada Penyelaras Jualan, Carrefour, Sri Petaling, tujuh tahun lalu.

Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Tang Liak Kweng, 42, di akhir kes pendakwaan.

"Setelah meneliti segala keterangan pihak pendakwaan dan hujah pihak pembelaan, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan dengan ini mahkamah melepaskan dan membebaskan kamu tanpa dipanggil membela diri," kata Fathiyah.

Tang, didakwa memberi rasuah kepada P. Sivaraja, 41, pada pukul 1.30 tengah hari berhampiran tempat menjual coklat di pasar raya tersebut, pada 1 Feb 2002.

Tang didakwa memberi rasuah kepada Sivaraja sebagai komisen supaya membuat pesanan beras lebih banyak daripada syarikatnya, Best Field Enterprise Sdn Bhd.

Dia didakwa mengikut Sekyen 11(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16, akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tang yang diwakili peguam bela Dir Kheizwan Kamaruddin kali pertama didakwa pada 21 Oktober 2002 dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ahsan Abdul Latif dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain