suria

Dua kemungkinan punca kematian Teoh

SHAH ALAM Mahkamah Koroner yang mendengar inkues kematian Teoh Beng Hock di sini hari ini diberitahu terdapat dua kemungkinan punca kematian Teoh sama ada ia satu kemalangan atau sebaliknya.

Ahli Kimia Dr Seah Lay Hong yang ditanya peguam Gobind Singh Deo, mewakili keluarga Teoh berkata perkara itu diberitahu oleh pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal kepadanya.

Sebelum itu, beliau menegaskan Ahmad Nazri tidak pernah menyatakan kepadanya bahawa kematian Teoh disebabkan pembunuhan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima plaza tersebut, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Sementara itu, timbul suasana tegang pada prosiding inkues di sesi petang apabila peguam Gobind Singh Deo tidak hentihenti mengasak Seah dengan menanya pelbagai soalan berhubung deoxyribonucleic acid (DNA).

Walaupun Koroner Azmil Muntapha Abas cuba mencelah dengan meminta Gobind memahami apa yang diberitahu ahli kimia itu, Gobind tetap bertegas untuk mengajukan soalan.

Pada awalnya Gobind mempertikai mengapa Seah tidak melakukan calitan pada semua bahagian di seluar panjang, kemeja T, tali pinggang, seluar dalam dan jaket milik setiausaha politik kepada seorang exco Selangor itu kerana beranggapan ia amat penting bagi mendapatkan keputusan lebih baik.

Bagaimanapun, Seah berkata tidak semua eksibit itu mempunyai kawasan kontak dan DNA tidak akan diambil pada bahagian yang mempunyai kesan darah.

Seah sesekali menempelak Gobind supaya memahami kerjakerja seorang saintis dan memberitahu Gobind bahawa beliau tahu apa yang perlu dibuat atau sebaliknya ke atas eksibit yang diserahkan oleh pegawai penyiasat.

Selain itu Gobind turut mempersoal mengapa Seah tidak meminta gambar keadaan mayat Teoh bagi memudahkannya menganalisis. Bagaimanapun Seah berkata ia tidak perlu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain