suria

Sasaran cukai 2009 mungkin tidak tercapai

KUALA LUMPUR: Meskipun kutipan cukai bagi separuh pertama tahun ini meningkat sebanyak RM1.1 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kerajaan bimbang tidak dapat mencapai sasaran pungutan keseluruhan buat tahun 2009.

Tanpa mahu mendedahkan sasaran kutipan bagi tahun ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, "disebabkan situasi (ekonomi) sekarang, kami sedikit bimbang, dari segi kutipan cukai separuh kedua tahun ini, kemungkinan besar tidak akan capai sasaran."

"(Bagaimanapun) dari segi jumlah sebenar kita cuma boleh ketahui selepas berakhirnya tahun ini," kata beliau selepas menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan 2009 di sini pagi tadi.

Ucapan itu disampaikan bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan I yang berada di Pekan untuk merasmikan Projek Agropolitan Pekan di Runchang.

Setakai 31 Julai lalu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memperoleh kutipan cukai RM53.5 bilion berbanding RM52.4 bilion sepanjang tempoh yang sama tahun lalu, kata Ahmad Husni.

Kutipan cukai tahun 2008 adalah sebanyak RM90.6 bilion berbanding RM74.7 bilion tahun sebelumnya.

"Kita ada sasaran. Sebenarnya, setiap tahun kami akan menetapkan apakah sasaran kami, begitu juga tahun ini.

"Sasaran untuk tahun ini, saya tidak perlu dedahkan kepada anda angka ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain