suria

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dipengerusi Sivakumar tidak lagi sah

IPOH: Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sebelum ini dipengerusikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh yang juga bekas Speaker, V. Sivakumar tidak boleh mengadakan mesyuaratnya kerana jawatankuasa tersebut tidak lagi sah ketika ini.

Setiausaha DUN Perak Abdullah Antong Sabri berkata ini kerana keanggotaan jawatankuasa itu adalah sah untuk satu penggal sahaja dan keanggotaan jawatankuasa berkenaan gugur dengan sendirinya apabila DUN memasuki penggal berikutnya.

"Oleh kerana Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan yang bersidang pada 7 Mei lepas telahpun membuat pelantikan baru bagi jawatankuasa itu, maka keanggotaan jawatankuasa yang dipengerusikan Sivakumar mulai Penggal Pertama Dewan sudah tidak lagi sah," katanya ketika dihubungi di sini Khamis.

Beliau berkata persidangan DUN 7 Mei lepas telah melantik Speaker Datuk R. Ganesan sebagai pengerusi baru Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan dianggotai oleh ADUN Temengor Datuk Hasbullah Osman, Datuk Rusnah Kassim (Hulu Kinta), Datuk Mohd Khusairi Abdul Mutalib (Slim), Datuk Nasarudin Hashim (Bota) dan Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah).

"ADUN Tebing Tinggi dari DAP Ong Boon Piow turut dilantik menganggotai jawatankuasa berkenaan melalui usul yang telah dikemukakan oleh ADUN Sungai Rapat Datuk Hamidah Osman dan disokong oleh ADUN Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad," katanya.

Selain Sivakumar, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebelum ini turut dianggotai ADUN Selingsing Husin Din (PAS), Chan Ming Kai (Simpang Pulai-PKR), Loke Chee Yan (Kepayang-DAP), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi-DAP), Sum Cheok Leng (Bercham-DAP) dan Hasbullah.

Terdahulu pada pukul 10 pagi tadi, Sivakumar dan semua anggota jawatankuasanya kecuali Hasbullah sekali lagi tidak dibenarkan pihak polis yang berkawal untuk memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini bagi mengadakan mesyuarat jawatankuasa itu di Kamar Yang Dipertua DUN.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Khidmat Pengurusan), Shamshuzaman Sulaiman menemui Sivakumar di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan memaklumkan arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Dr Abdul Rahman Hashim yang mengatakan mesyuarat itu tidak boleh dijalankan kerana jawatankuasa berkenaan tidak sah dan sudah tidak lagi relevan.

Pada Isnin lepas, Sivakumar yang masih mengaku dirinya sebagai Speaker DUN Perak turut mendapat halangan polis bagi mengadakan mesyuarat yang bertujuan untuk membincangkan mengenai pelucutan jawatannya sebagai Speaker pada sidang DUN, 7 Mei lepas yang didakwanya dilakukan melalui 'sub-dewan' dalam DUN yang dianggap tiada dalam perundangan serta tindakan Ganesan mengarahkan polis memasuki sidang DUN untuk mengeluarkannya daripada dewan persidangan.

Kumpulan ADUN pembangkang yang diketuai Sivakumar akhirnya bersurai pada pukul 11.30 pagi selepas pelbagai usaha mereka termasuk cubaan menimbulkan kekecohan dengan cuba merempuh masuk berjaya ditangani pihak polis.

Kumpulan tersebut turut memberi alasan untuk minum di kantin selain ingin ke tandas dalam cubaan mereka memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk mengadakan mesyuarat terbabit, namun gagal. BERNAMA

Artikel Lain