suria

Insentif khas untuk guru BI berkhidmat di luar bandar - Muhyiddin

SEREMBAN: Kerajaan sedang mengkaji insentif khas untuk guru Bahasa Inggeris (BI) daripada kategori cemerlang yang bersetuju berpindah untuk berkhidmat di kawasan luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata sekarang ini memang terdapat elaun khas dibayar kepada guru Bahasa Inggeris tetapi insentif itu akan diberikan kepada guru cemerlang BI yang sanggup mengajar di kawasan luar bandar.

"Kita nak bagi insentif seperti tempat tinggal...memang ada guru-guru yang berminat, inilah guru yang sedia berkorban," kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan dan Mesyuarat Agung Majlis Guru Besar Malaysia di sini Selasa.

Beliau berkata kerajaan mahu menghantar guru-guru terbaik ke kawasan pedalaman dengan mencontohi program di Australia yang dikenali sebagai "Teach Australia" di mana guru menyahut cabaran dan diberikan insentif khas untuk mengajar anak-anak bangsa di kawasan pedalaman benua itu.

Kerajaan akan memastikan keselesaan guru-guru yang mahu bertukar ke luar bandar ini terjamin supaya mereka akan selesa untuk berada di kawasan itu selama mungkin, katanya.

"Kita pilih dari kalangan yang benar-benar terlatih dari segi ukuran, ia boleh dikatakan sebagai Band 5, ini yang terbaik. Sekarang ini purata banyak Band 2 dan 3, yang cemerlang itu cuma 8 peratus sahaja," katanya.

Muhyiddin menegaskan negara perlu melahirkan guru-guru BI yang berkualiti tinggi dan pelbagai program serta perubahan sedang dibuat.

Kementerian memerlukan kira-kira 13,000 guru terlatih BI untuk dihantar ke kawasan luar bandar menjelang tahun 2012 iaitu apabila strategi memperkukuhkan bahasa Inggeris di kalangan pelajar mula dilaksanakan, katanya.

"Jadi ini pastinya memerlukan masa dan kita sudah putuskan bahawa kita akan dapatkan sumber dari institut-institut pendidikan guru, graduan dalam Bahasa Inggeris dari institut pengajian tinggi awam dan swasta, guru-guru yang bersara tetapi masih mampu untuk mengajar dan mungkin membawa masuk 1,000 tenaga luar negara sebagai Master Teacher untuk bimbing guru-guru kita," katanya.

Untuk murid pula, Makmal Bahasa yang dilengkapi komputer dan perisian terbaik akan diperkenalkan untuk membolehkan mereka mempelajari bahasa Inggeris, katanya. BERNAMA

Artikel Lain