Manek Urai tidak akan diabaikan - Mustapa - Semasa | mStar

Manek Urai tidak akan diabaikan - Mustapa

KUALA KRAI: Barisan Nasional (BN) tidak akan mengabaikan penduduk Manek Urai walaupun tidak diberi mandat pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu Selasa lalu, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata parti itu juga akan menunaikan janji yang dibuat sepanjang pilihan raya kecil tersebut berlangsung, terutama dalam aspek pembangunan di kawasan yang agak ketinggalan itu berbanding dengan kawasan lain.

"Kita akan menunaikan janji-janji yang kita buat bergantung kepada keupayaan kewangan kita."

"Sebulan sebelum pilihan raya kecil, kerajaan pusat sudah belanja RM11 juta untuk kawasan Manek Urai untuk baiki jambatan, baiki jalan dan sebagainya. Ini peruntukan biasa yang kita beri, kerana kita tahu kalau nak harapkan kerajaan negeri sikit sangat peruntukan daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Manek Urai di sini, Sabtu.

Hadir sama, calon BN Tuan Aziz Tuan Mat, Ketua Umno Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman, bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah dan jentera parti itu.

BN tewas dengan majoriti tipis 65 undi pada pilihan raya kecil itu di mana calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50 mendapat 5,348 undi manakala Tuan Aziz memperoleh 5,283 undi.

Pilihan raya kecil DUN itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob daripada PAS pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung.

Mustapa yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Manek Urai berkata beliau akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memutuskan dalam masa terdekat projek yang dijanjikan atau yang diminta penduduk.

"Kita tak nak tinggalkan terus Manek Urai kerana pilihan raya kecil lalu buktikan rakyat sokong kita dan mahukan pembangunan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata semua sembilan peti undi DUN Manek Urai akan dijadikan anak angkat kepada menteri-menteri bagi memastikan kawasan itu terus mendapat perhatian walaupun ia dikuasai pembangkang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata BN menunggu keputusan pilihan raya kecil itu diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu sebelum menimbang untuk mengambil tindakan susulan termasuk mengemukakan petisyen mengenainya.

Katanya BN juga meneliti maklumat yang diperoleh yang mendakwa pembangkang juga menggunakan wang untuk memancing undi pada pilihan raya kecil itu.

Beliau mengulas desas desus wujud keraguan pada keputusan pengiraan di peti undi Manek Urai Lama di mana BN sepatutnya dikatakan menang dengan majoriti 289 undi tetapi hanya diumumkan 189 undi oleh SPR.

Keputusan yang dibuat SPR itu dikatakan memberi kesan yang besar sehingga menyebabkan BN kalah pada pilihan raya kecil itu dengan majoriti 65 undi.

Sementara itu, Tuan Aziz ketika ditemui pemberita berkata beliau menyerahkan kepada pimpinan parti untuk memutuskan sama ada ingin membawa perkara itu ke mahkamah atau sebaliknya.

"Saya difahamkan perkara itu kini sedang dikaji, terpulanglah nanti apa keputusannya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain