suria

Hak istimewa Melayu tetap dipertahan selagi Umno berkuasa - Muhyiddin

KUALA KANGSAR: Segala hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Negara akan terus dipertahankan selagi Umno berkuasa, kata Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Umno sedar tanggungjawabnya sebagai parti yang membela orang Melayu," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Padang Rengas dekat sini Sabtu.

"Itulah perjuangan kita dahulu, sekarang dan insya-Allah pada masa-masa yang akan datang. Ini adalah perkara yang cukup penting yang kita tidak boleh abaikan," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata dakwaan pihak tertentu bahawa langkah kerajaan meliberalisasikan ekonomi bagi menarik pelaburan asing ke negara ini sebagai mengabai dan menjejaskan kedudukan orang Melayu adalah tanggapan salah yang perlu diperbetulkan.

Beliau berkata asas yang diperjuangkan oleh Umno selama ini tidak pernah berubah dan menegaskan parti itu tidak pernah lari dan tidak akan berganjak dari tanggungjawabnya membela orang Melayu dari segi ekonomi, politik, kebudayaan, pendidikan, sosial dan perkara-perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan.

"Banyak pihak memutarbelitkan bahawa pimpinan hari ini tidak lagi hendak mempertahankan hak Melayu. Kita membuka ruang yang terlalu luas sehingga Bumiputera tidak mampu untuk berhadapan dengan persaingan.

"Selama mana Bumiputera harus memegang tongkat, selama mana Bumiputera hanya bergantung dengan sebab ada perlindungan daripada kerajaan dengan tidak ada usaha dibuat dengan kesungguhan untuk kita berdikari pada satu masa yang akan datang," katanya.

Sehubungan itu Muhyiddin berkata pendekatan pucuk pimpinan dalam soal ekonomi negara dan juga usaha untuk melindungi kepentingan Bumiputera itu harus difahami oleh para pemimpin dan juga anggota parti Umno sendiri.

Beliau berkata langkah liberalisasi ekonomi itu diambil selepas mengambilkira situasi ekonomi dunia yang kini begitu mencabar di mana Malaysia akan jauh ketinggalan sekiranya tidak mengubahsuai struktur ekonominya mengikut keadaan ekonomi semasa.

"Saya nak tegaskan kita tidak sekali-kali meninggalkan atau mengabaikan tanggungjawab kita...bahawa dasar dan semangat dasar ekonomi baru (DEB) itu masih terus pada hari ini kita pertahankan," katanya.

Terdahulu ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Kangsar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mercu di sini, Muhyiddin berkata inisiatif perubahan yang digariskan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk mendekati rakyat tidak akan berjaya jika para pemimpin di peringkat akar umbi gagal melaksanakan perkara yang sama.

Beliau berkata para pemimpin Umno di peringkat akar umbi perlu bertindak turun padang menemui rakyat jelata mulai sekarang supaya Umno tidak dilihat sebagai parti yang angkuh, sombong, tidak berpijak di bumi nyata dan hanya memikirkan kelompok dan puak sendiri tanpa mengambilkira kepentingan rakyat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain