suria

Rais persoal PAS tolak perpaduan dengan Umno tapi terima DAP

KUALA KRAI: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mempersoalkan pendirian PAS menolak idea perpaduan dengan Umno tetapi sanggup bekerjasama dengan DAP.

Rais yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata beliau tidak faham kenapa PAS menolak idea perpaduan itu yang akan memberikan manfaat kepada kaum Melayu di negara ini.

"Kenapa mereka tak mahu terima perpaduan. Ini soal sahsiah Melayu," katanya pada Program Merakyatkan Senibudaya Kenduri Rakyat Bersama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di Kampung Manjor, Manik Urai, di sini malam tadi.

Beliau berkata tindakan parti itu yang menolak idea kerajaan perpaduan, yang asalnya disuarakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menggambarkan kemungkinan parti itu mempunyai masalah dalaman.

Mungkin mereka yang terbabit dengan idea perpaduan ini disekat, katanya.

Pada majlis yang menyajikan persembahan kebudayaan itu, Rais meminta pengundi di kawasan itu memberikan sokongan kepada Barisan Nasional untuk membawa perubahan serta memberi nafas baru kepada kegiatan seni dan budaya di Kelantan.

"Kawasan Manik Urai harus terurai daripada belenggu selama ini," kata Rais. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain