suria

Bekalan air kepada 2,500 pengguna di Hulu Selangor terjejas

KUALA LUMPUR: Bekalan air kepada hampir 2,500 pengguna di beberapa kawasan di Hulu Selangor terjejas akibat tumpahan minyak diesel di muka sauk Loji Sungai Selisek semalam.

Pengurus Besar, Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Abdul Halem Mat Som berkata berikutan kejadian pada 1 tengah hari itu, Syabas mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau bagi memantau serta memastikan air dapat dibekalkan kepada pengguna yang terlibat.

Kawasan yang terlibat ialah Kampung Sungai Nilam, Kampung Paya Lebar, Kampung Lalang, Kampung Serigala, Rumah Murah Sungai Selisek, Kampung Sekolah, Kampung Bahom, Kuarters Klinik Sungai Selisek, Kuarters Guru Sungai Selisik, Kampung Masjid dan Kampung Gesir Tengah, katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Halem berkata dua buah lori tangki air dan empat buah tangki statik digerakkan ke kawasan yang dikenal pasti untuk membekalkan air manakala operator loji, iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd membuat kerja-kerja pembaikan.

Katanya Syabas akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa kepada mereka yang terlibat melalui media massa.

Syabas turut menasihatkan penduduk yang terlibat agar menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol: 1800885252 untuk sebarang maklumat mengenai kejadian itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain