suria

Lelaki rakyat Indonesia mati ditikam

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Indonesia ditemui mati ditikam di Jalan Pauh Damar, Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ahmad Amir Hashim berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 7.30 petang ketika lelaki berusia 35 tahun itu menaiki motosikal untuk pulang ke rumahnya bagi menunaikan solat Maghrib.

Mayat lelaki yang dikenali sebagai Jamaludin itu ditemui tertiarap di dalam longkang dengan kesan tikaman di perutnya, beberapa meter daripada motosikal yang dinaikinya.

"Mangsa baru lepas minum di sebuah kedai di simpang kampung itu. Menurut maklumat orang kampung, dua lelaki menunggu mangsa dan menyerang mangsa secara mengejut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya lelaki yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah itu ditikam dengan sejenis celoret.

Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.

Seorang penduduk kampung Nizam Tambun, 30, berkata beliau mengenali lelaki itu sebagai seorang yang warak dan pendiam.

"Saya baru lepas minum bersamanya," katanya.

Beliau berkata lelaki itu bekerja sebagai tukang rumah dan menetap di kampung bersebelahan, Kampung Malaysia Tambahan sejak beberapa tahun lepas dan dikenali oleh penduduk kampung sebagai seorang yang berkelakuan baik. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain