suria

RTM diminta teliti siaran langsung liputan parlimen

KUALA LUMPUR: Radio Television Malaysia (RTM) diminta menyemak semula siaran langsung sesi Parlimen selama 30 minit kerana dikatakan tidak menyiarkannya secara menyeluruh, sebaliknya dibuat secara berpilih.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee meminta RTM supaya mengambil perhatian terhadap teguran oleh beberapa anggota Parlimen hari ini mengenai siaran tersebut.

Terdahulu Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang bangkit sebaik sahaja sesi Parlimen bermula pagi ini berkata beliau mendapat panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMs) daripada rakyat yang mengadu stesen milik kerajaan itu menayangkan program tersebut secara berpilih di samping menyelitkan program bual bicara.

"Saya difahamkan siaran langsung TV1 itu secara berpilihpilih. Biarlah macam yang lepas, dari awal (10 pagi) sampai 10.30 pagi, kalau ada pergaduhan biarlah rakyat menilai," katanya.

Pada perbahasan rang undang-undang Bank Negara Malaysia 2009 kemudiannya, beberapa anggota pembangkang turut bangun untuk menyatakan rasa tidak puas hati dengan liputan itu.

M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) juga meminta Ronald menghalau petugas dan wartawan RTM yang bertugas di Parlimen tetapi ia disanggah oleh wakil penyokong kerajaan hingga menyebabkan dewan riuh seketika. Ronald kemudian menenangkan keadaan dan sekali lagi meminta RTM untuk mengambil perhatian terhadap teguran itu. BERNAMA

Artikel Lain