suria

Mansuhkan terus ISA - PBRS

KOTA KINABALU: Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak perlu dikaji atau dipinda tetapi sepatutnya dimansuhkan terus, kata seorang pemimpin kanan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Naib Presiden I PBRS, Baharuddin Nayan berkata kerajaan juga tidak perlu mewujudkan Akta baru menggantikan ISA, jika sekiranya ISA dimansuhkan, kerana undangundang sedia ada sudah mencukupi.

Beliau bagaimanapun menyokong cadangan untuk menyemak semula 32 Akta lain seperti yang diumumkan Menteri Dalam Negeri. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini.

"Saya pernah menyuarakan ketidakpuashatian terhadap cara penyampaian Akta ini semasa tahun 1992. Ini kerana saya dapati tahanan ISA tidak diperlakukan dengan baik, dan ianya bercanggah dengan hak asasi manusia.

"Banyak pihak seperti NGO (badan bukan kerajaan) telah menyuarakan perkara yang sama dan mahu melihat Akta ini dimansuhkan," katanya kepada Bernama.

Baharuddin mengulas kenyataan Hishammuddin bahawa Kementerian Dalam Negeri akan meneliti semula 32 Akta lain selain ISA, yang tidak relevan dengan keadaan semasa.

Ia termasuk Akta Kediaman Terhad 1933, Pencegahan Jenayah 1959, Akta Bahan Letupan 1957, Akta Bendabenda Kakisan dan Letupan dan Senjata untuk Menyerang 1958, Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, Akta Perniagaan Secondhand 1946, Akta Keadilan Jenayah 1953 dan Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini 1960. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain