suria

Kastam rampas rokok bernilai RM145,600

BENTONG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya merampas 120 kotak rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM145,600 dalam dua serbuan pada Khamis lepas.

Penolong Ketua Pengarah KDRM Bahagian Penguatkuasaan, Datuk Md Hassim Tardi berkata rampasan tersebut ekoran penahanan sebuah lori di plaza Tol Bentong pada 6.30 pagi oleh bahagian penguatkuasaan KDRM Pahang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lori terbabit membawa muatan 40 kotak rokok yang setiap satunya berisi 50 kartun rokok jenama "Zonking International" bernilai RM60,000 dengan jumlah cukai yang terlibat dianggarkan bernilai RM129,000.

Katanya, hasil soal siasat ke atas pemandu lori berusia 25 tahun terbabit, pihaknya telah menyerbu sebuah stor milik syarikat pengangkutan lori di Segambut, Kuala Lumpur pada 11 pagi.

"Pasukan Kastam kemudian berjaya merampas sebanyak 60 kotak mengandungi rokok jenama Premium International dan 20 kotak Djarum Black bernilai RM85,600 dengan jumlah cukai bernilai RM208,232," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, Kastam turut menahan pengurus gudang terbabit berusia dalam lingkungan 40 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana dipercayai memiliki barang larangan.

Pemandu lori terbabit pula disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barangan larangan, katanya. BERNAMA

Artikel Lain