suria

Isteri tertuduh kes rompak sebenarnya lelaki

KUALA LUMPUR: Tidak ada apa-apa yang luar biasa bagi seorang isteri menjamin suaminya di mahkamah tetapi dalam satu kes di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, seorang "wanita" yang mengakui isteri tertuduh didapati seorang lelaki yang dipercayai telah menukar jantinanya.

Kekeliruan timbul dalam kes melibatkan tukang gunting rambut, P. Ramesh, 40, yang mengaku tidak bersalah terhadap dua kes rompakan, dan "isterinya" telah menjaminnya.

Ketika Hakim Zainal Abidin Kamarudin sedang melihat kad pengenalan isteri Ramesh, beliau tibatiba terkejut mendapati nama yang tertera pada kad pengenalan "wanita" itu ialah Rajandren a/l Nagarajan.

"Awak dah kahwin ke?" tanya Zainal Abidin kepada Rajandren yang berpakaian sari berwarna coklat yang tersenyum dan mengangguk.

Rajandren mengakuinya bahawa mereka berkahwin secara tradisional tetapi belum didaftarkan kerana beliau belum menukar status jantinanya dalam kad pengenalan.

"Macam mana saya nak gelar awak ni, Puan atau Encik? Macam ini sahajalah, saya panggil awak Encik sahaja ikut macam yang tertulis dalam kad pengenalan," kata Zainal Abidin, yang menambah ini adalah kali pertama beliau berjumpa kes seperti ini.

Ramesh dan rakannya, D.Shanmuganathan, 31, seorang pemungut besi buruk, didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas, merompak wang tunai RM500, salinan pasport Bangladesh dan dua kad ATM milik warga Bangladesh, Babul Nejamuddin, di hadapan bangunan Menara Maybank, Jalan Tun Perak pada 10.30 malam 16 April lepas.

Bagi kesalahan kedua, di tempat yang sama, Ramesh didakwa merompak wang tunai RM700 milik seorang lagi warga Bangladesh, Mohd Rajivur Rahman.

Dia juga didakwa menyimpan harta curi iaitu seutas jam tangan milik Chung Kim Wooi, 61, di sebuah rumah di Lorong Haji Taib 2 pada 5.15 petang 5 Jun lepas.

Hakim Zainal Abidin membenarkan Ramesh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Julai untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah yang sama, Shanmughanathan, turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan merompak Babul Nejamuddin bersama Ramesh, selain dituduh memiliki sebuah teksi yang dicuri di tempat letak kereta belakang Bangunan Sime Darby, Jalan Raja Laut, pada 1 tengah hari 4 Jun lepas.

Hakim Zainal Abidin mengenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Rajandren turut menjadi penjamin kepada Shanmuganathan yang merupakan sepupunya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Lain