suria

Umno ajak PAS Wanita bincang soal perpaduan

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno akan menghantar surat jemputan kepada Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh esok bagi mengadakan perbincangan mengenai isu perpaduan.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau mahu memulakan langkah mengadakan perbincangan itu yang dilihatnya telah pun mula diperkatakan begitu lama sama ada oleh Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat.

"Isu perpaduan itu adalah mengenai Islam sesama Islam dan bukan Islam dan saya percaya, wanita mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan isu ini," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau yakin Nuridah akan menerima jemputan itu.

"Kita pernah mengadakan pertemuan sebelum ini. Saya yakin beliau akan bersetuju jika diberi peluang dan saya berharap, Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) akan meluluskannya.

"Saya harap kita dapat duduk berbincang sambil mengetepikan perbezaaan ideologi dan politik," katanya.

Berhubung kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bahawa perbincangan mengenai perpaduan perlu melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Shahrizat berkata, beliau mahu memulakan perbincangan dengan PAS terlebih dahulu kerana parti itu yang mula menimbulkan isu ini.

Sementara itu, Shahrizat berkata, beliau akan menghantar kertas cadangan kepada Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun HUssein supaya 30 peratus jawatan penting dalam Umno diperuntukkan kepada wanita bagi tujuan pindaan dalam perlembagan parti.

"Saya gembira Wanita PKR telah melaksanakan peruntukan itu kerana ia dimulakan oleh BN," katanya.

Katanya, beliau gembira dengan perkembangan positif bahawa wanita kini diberi jawatan-jawatan penting dalam kerajaan.

Artikel Lain