suria

Isteri Kayveas terima watikah pelantikan sebagai Pesuruhjaya Tinggi

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyampaikan watikah pelantikan kepada seorang Duta dan tiga Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke luar negara.

Mereka termasuklah Datin Blanche Olbery, 50, isteri Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas, yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Papua New Guinea, Republik Vanuatu dan Kepulauan Solomon.

"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan. Pelantikan ini bukan sahaja satu penghormatan buat saya tetapi ia juga buat seluruh warga wanita," kata Blance.

Katanya beliau akan menggunakan pengalaman dalam bidang politik daripada segi kegiatan menemui pelbagai lapisan masyarakat dan pengalaman bergaul dengan mereka untuk melaksanakan tugas barunya itu.

Beliau merupakan Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa PPP serta anggota Persatuan Hubungan Antarabangsa bagi Wanita Barisan Nasional (BN).

Kayveas ketika dihubungi Bernama pula berkata pelantikan itu menandakan hasrat isterinya untuk menjadi seorang diplomat sudah tercapai.

"Saya gembira apabila melihat impian keduanya tercapai, yang pertama sebagai Peguam yang sudah berpengalaman selama 27 tahun, dan keduanya menjadi seorang diplomat, " katanya.

Dalam istiadat yang berlangsung di Istana Negara, yang turut menerima watikah pelantikan ialah Duta Besar Malaysia ke Finland, Cheah Choong Kit, serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Jamaluddin Sabeh, dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Mohd Yusoff Abu Bakar, yang turut ditauliah sebagai Duta Besar Malaysia ke Angola dan Republik Demokratik Congo-Kinshasa.

Sebelum ini Cheah, 51, anak kelahiran Pulau Pinang, pernah memegang jawatan sebagai Pengarah (Ekonomi) di Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei, serta pernah dilantik sebagai Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Romania pada 1996 dan sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Zimbabwe.

Jamaluddin, 54, anak kelahiran Selangor pula sebelum ini adalah Timbalan Ketua Pengarah (Komuniti Sosio Budaya) Jabatan Kerjasama Asean, Kementerian Luar, Setiausaha Kedua Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York dan Konsul Malaysia di Pekan Baru, Indonesia.

Mohd Yusoff, 57, pula merupakan timbalan ketua protokol sejak tahun 2006, selain pernah bertugas sebagai Setiausaha Pertama, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka pada 1991.

Istiadat itu turut dihadiri Menteri Luar Datuk Anifah Aman. BERNAMA

Artikel Lain