suria

Mayat warga Nepal ditemui di kawasan semak, Pulau Indah

PELABUHAN KLANG: Polis menemui mayat seorang lelaki warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, di sebuah kawasan semak berhampiran satu lot perindustrian di Indah Point, Pulau Indah dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang, ACP Mohamad Mat Yusof memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa mangsa yang belum dikenal pasti identitinya berusia dalam lingkungan 30-an itu, ditemui dibungkus dengan tilam dan kanvas dengan kesan tetakan di kepala menggunakan senjata tajam.

"Mangsa dipercayai telah meninggal dunia 12 jam lepas dan beliau dipercayai dibunuh kirakira awal pagi tadi," katanya. Beliau berkata pihaknya sedang menjejaki rakan mangsa juga warga Nepal dan seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan.

Kedua-dua lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Mohamad berkata polis mendapat maklumat mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan telefon dari orang awam pada pukul 1.00 tengah hari.

Bagaimanapun, Mohamad berkata motif pembunuhan belum dapat dipastikan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain